Pages

Monday, January 2, 2012

adab menguap~~

1. Menahan menguap sekadar termampu
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r a., daripada Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala suka orang yang bersin & membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillaah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallaah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya."

2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r.a, katanya :
Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka). Kebanyakan ulama menghukumkan sunnat meletakkan tangan di mulut ketika menguap, sama ada di dalam sembahyang ataupun di luarnya."

3. Makruh mengangkat suara ketika menguap
Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad & At-Termizi daripada Nabi s.a.w. katanya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin & membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu."
Ibnu As-Sunni telah meriwayatkan pula daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya:
Telah bersabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT membenci mengangkat suara ketika menguap & bersin. Ada diriwayatkan iaitu apabila seseorang itu dapat menahan menguap, lalu dia berkhayal dalam ingatannya, bahawasanya Nabi s.a.w tidak pernah menguap sama sekali, niscaya akan hilang perasaan hendak menguap itu dengan izin Allah SWT."

BETULKAN YANG TERBIASA & BIASAKAN YANG BETUL

sumber : Allah Seeker

Saturday, November 19, 2011

Pendakwah Muslimah,facebook dan media.

Surat Remaja Buat Ustazah

Salam mahabbah ustazah yang kusayangi kerana Allah...
Didoakan agar ustazah sentiasa dirahmati Allah...
Saya ada sedikit nak berkongsi dengan ustazah.
Saya pernah bertanya pensyarah saya tentang pendapat beliau bagi muslimah yang meletakkan gambar di dalam blog atau facebook.
Ada kawan-kawan yang mengatakan saya ni syadid bila saya tidak meletakkan gambar di ruang-ruang facebook atau di dalam blog. Jujurnya pada pendapat saya sendiri, saya tak ingin dikenali oleh muslimin. Bimbang fitnah itu datang dari hanya sekeping gambar, walaupun ganbar itu gambar yang sempurna dengan menutup aurat. Tambahan pula sebagai muslimah, bagi saya perlu menjaga rapi dirinya walau di alam maya.
Pensyarah saya melarang kami meletakkan gambar di dalam laman-laman sosial walau untuk tujuan berdakwah kerana bimbang bila ada yang berniat jahat cuba mengambil gambar tersebut untuk menyihir kita...

Balasan Ustazah

Salam sayang buat ukhti.
Terima-kasih atas perkongsian. Terasa perkongsian ini lahir dari hatimu yang tulus dan menyayangi diriku ini.
Setiap orang mempunyai pendapat. Ustazah hormati. Dan setiap orang tidak berhak memaksakan orang lain terhadap pendapatnya, selagi mana kedua-dua pendapat itu masih di atas garis hukum dan tidak melanggar syariat. Bersabarlah dengan dakwaan kawan-kawan ukhti itu kerana ustazah yakin ukhti mempunyai fatwa hati tersendiri. Pesan Nabi, “Mintalah fatwa pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hatimu gelisah. [H.R. Ahmad dan al-Dârimî]

Apakah hukum meletakkan gambar sopan dan menutup aurat di facebook?

Sesetengah orang menempelak muslimah yang berdakwah dengan gambar, drama, filem, buku, ceramah umum, video-video kreatif, facebook, blog  dan sebagainya dengan hujah matlamat tidak menghalalkan cara. Persoalannya, apa yang tidak halal dengan cara ini? Adakah ia sesuatu yang disepakati haram oleh semua ulama’?
Perbahasan tentang isu ini dikiaskan dengan perbahasan hukum muslimah membuka wajah. Ianya adalah soal khilaf. Jumhur ulama mengatakannya harus. Keharusan itu terpakai kepada semua bentuk samada muslimah berada dalam surat khabar, kulit buku, video, televisyen dan sebagainya.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.” Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini. (Rujuk buku Wanita Dalam Fiqh al-Qaradhawi)

              Hal ini bergantung juga kepada niat. Urusan niat seseorang adalah urusannya dengan Allah. Terpulanglah samada kita memilih untuk berbaik sangka dengan niatnya atau berburuk sangka dengan niatnya itu, semuanya bakal dihisab Allah. Kutukan-kutukan berupa sengaja ingin dipuji, sengaja nak tunjuk cantik dan sebagainya itu, semuanya akan diadili oleh Allah SWT samada benar atau tidak. Pesan Allah SWT di dalam al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada mengandungi dosa.” (al-Hujurat : 12)

Sesuatu Yang Harus Ada Kebaikan dan Keburukan

Tabiat sesuatu yang hukum asalnya adalah harus, mempunyai kebaikan dan keburukan. Kita berhak mempertimbangkan mana yang lebih mendatangkan banyak kebaikan dan mana yang lebih banyak mendatangkan keburukan.
Contohnya, makan kek yang manis adalah harus. Kebaikan kek ialah ia boleh mengembirakan orang pada hari-hari istimewa kerana rasanya yang sedap. Keburukannya pula, ia boleh memberi risiko kegemukan, kencing manis dan sebagainya.
Maka, bolehkah kita melarang orang memakan kek? Ataupun, bukankah lebih hikmah jika kita tidak menghalang orang makan kek, sebaliknya, memberi panduan bagaimana berpada-pada makan kek dengan aturan dan caranya yang sesuai.

Luaskan yang Halal, Sempitkan Yang Haram
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia, terutama dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. Kerana kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil, melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang sahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa, contoh dadah diqiyas dengan rokok) yang jelasillatnya (sebab) terhadap nas.
Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.
Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).
Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).

Berdakwah Dengan Kemajuan Teknologi

Berbalik kepada isu meletakkan gambar muslimah di facebook, spesifiknya gambar sopan dan menutup aurat, ustazah hormati muslimah yang tidak melakukan hal ini. Begitu juga muslimah yang tidak mahu terlibat dengan dakwah melalui video, ceramah umum, televisyen dan sebagainya. Mereka berhak mempunyai hujah dan fatwa hati tersendiri.
Ustazah pula mempunyai hujah dan fatwa hati ustazah tersendiri. Ustazah tertarik dengan kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi apabila beliau membahaskan tentang harusnya muslimah membuka wajah, beliau berkata, " Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”
Risiko kemungkinan disihir bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar difacebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah hidup dengan cara hidup Islam dan melazimi zikir-zikir terpilih daripada al-Quran dan as-Sunnah. Risiko difitnah pula bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar di facebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah terus hidup dalam tabiah (suasana mendidik) dan tetap berdakwah, insya-Allah sekalipun difitnah, akan dibela Allah SWT.

Zaman Berubah, Pemikiran Wanita juga Boleh Berubah Selagi Dalam Batas

Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.
            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”

            Beliau berkata lagi, “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan,saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah.”

Bagaimana jika lelaki memandang dengan syahwat?

Antara risiko lain bagi wanita yang mendedahkan wajah ialah takut-takut lelaki fasik memandangnya dengan syahwat. Mari kita teliti perbahasan ulama berikut:
As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”
Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”
Perintah menundukkan pandangan ditujukan kepada lelaki tersebut. Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.
Namun, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?
 Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”
            Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja. Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Maslahah Kecil atau Maslahah Besar?

            Melihat cantiknya seorang pendakwah wanita dalam media cetak atau elektronik mungkin menyebabkan seorang lelaki terfitnah. Namun, mungkin kehadirannya di arena itu juga menjadi sebab 1000 orang wanita lain mendapat hidayah dengan izin Allah SWT. Mutiara ilmunya, pakaiannya, budi bahasanya dan apa-apa yang dia tonjolkan secara langsung menjadi ikutan, bukan sekadar mendengar teori tanpa gambaran yang jelas. Patutkah kita hanya memikirkan maslahah yang sedikit hingga mengabaikan maslahah yang lebih besar?

            Pengalaman hidup saya sendiri ketika di alam remaja, saya dahagakan idola. Saya sedar, idola paling utama ialah Rasulullah SAW. Selain itu, tokoh-tokoh wanita yang masih hidup turut mengesani peribadi saya. Seperti kebanyakan remaja lain, saya ingin melihat idola saya itu berkata-kata secara langsung, berperibadi di depan mata dan menunjukkan contoh dengan perbuatannya. Bukan itu sahaja, saya mahukan gambar idola saya itu disemat di dalam dompet agar saya dapat mencontohinya. Saya bersyukur apabila menemui gambar tokoh pejuang seperti Zainab al-Ghazali. Begitu juga gambar puteri sulung Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ilham dan sebagainya.

Muslimah yang tidak meletakkan gambar di facebook atau meletakkannya, masing-masing ada fatwa hati, dan ada niat suci tersendiri. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mempunyai tujuan. Masing-masing mengikut garis hukum dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam
copy paste from blog Fatimah syarhah<3 semoga bermanfaat~

Tanda-tanda Cinta Kepada Allah. .adakah kita mempunyai tanda-tanda ini?. .

Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.


Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda; "Siapa yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia." Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas, dia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.


Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki; "Jika sesiapa bertanya kepada mu sama ada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."


Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.


Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi semua makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.


Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi Daud, "Janganlah terlampau karib dengan manusia, kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu: iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja." Pada hakikatnya, jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang itu, maka cintanya kepada yang lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu. Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari. Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata, "Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu, Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan," Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar, tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.


Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata, "Dalam tiga puluh tahun yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali, tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna, maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.


Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah. Al-Quran menyatakan "mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri." Suatu masa, Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihmu?" Terdengarlah jawapan, "Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya, mengambil perlindungan dengan mengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Allah akan mengganti yang lebih baik^^

Allah tidak pernah mencabut sesuatu dari anda kecuali Dia menggantinya dengan yang lebih baik. Tetapi, itu apabila anda bersabar dan tetap redha dengan segala ketetapanNya.


"Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga." (Al-Hadith)


"Siapa saja orang di dunia ini yang kekasihnya Aku cabut nyawanya, kemudian dengan cubaan yang Aku timpakan ini dia (bersabar dan) mengharap pahalaKu, nescaya akan Aku ganti dengan syurga." (Al-Hadith)


Yakni; barangsiapa kehilangan anaknya tetap berusaha untuk bersabar, maka di alam keabdian kelak akan dibangunkan untuknya sebuah Baitul-Hamd (Istana Pujian). Silakan anda qiaskan kejadian-kejadian tersebut dengan kehidupan anda, kerana yang dipaparkan di sini sekadar contoh.


Maka anda tidak usah terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa anda, sebab yang menentukan semua itu memiliki syurga, balasan, pengganti, dan ganjaran yang besar. Para wali Allah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapatkan penghormatan yang agung di syurga Firdaus. Itu tersirat dalam firmanNya:
"Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubannNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan." (Ar-Rad: 24)


Betapapun, kita harus melihat dan yakin bahawa di sebalik musibah terdapat ganti dan balasan dari Allah yang akan selalu berakhir pada kebaikan kita. Dengan begitu kita akan termasuk:
"Mereka itulah mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk." (Al-Baqarah: 157)


Ini merupakan ucapan selamat bagi orang-orang yang mendapat musibah dan khabar gembira bagi orang-orang yang mendapat bencana. Umur dunia ini sangat pendek dan gudang kenikmatannya pun sangat miskin. Adapun akhirat lebih baik dan kekal. Sehingga, barangsiapa di dunia mendapat musibah, ia akan mendapat kesenangan di akhirat kelak; dan barangsiapa hidup sengsara di dunia, ia akan hidup bahagia di akhirat. Lain halnya dengan mereka yang memang lebih mencintai dunia, hanya menginginkan kenikmatan dunia saja, dan lebih senang pada keindahan dunia. Hati mereka akan selalu gundah-gulana; cemas tidak mendapatkan kenikmatan dunia dan takut tidak nyaman hidupnya di dunia. Mereka ini hanya menginginkan kenikmatan dunia saja, sehingga mereka selalu memandang musibah sebagai malapetaka besar yang mematikan. Mereka juga akan memandang setiap cubaan sebagai sesuatu yang gelap-gelita selamanya. Ini adalah kerana mereka selalu memandang ke arah bawah telapak kakinya dan hanya mengagungkan dunia yang fana' dan tidak berharga ini.


Wahai orang-orang yang tertimpa musibah; sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari kalian. Kalian justeru beruntung, kerana Allah selalu menurunkan sesuatu kepada para hambaNya dengan "surat ketetapan" yang di sela-sela huruf kalimahNya terdapat suatu kelembutan, kasih-sayang, pahala, ada balasan, dan juga pilihan. Maka dari itu, siapa saja yang tertimpa musibah yang hebat, ia harus menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan pola fikir yang panjang. Dengan begitu ia akan menyaksikan bahawa buah manis dari musibah itu adalah:
"... lalu didirikanlah di antara mereka (orang-orang mukmin dan orang-orang munafiq) dinding yang mempunyai pintu, yang di sebelah dalamnya ada rahmat (syurga) dan di sebelah luarnya ada seksa (neraka)." (Al-Hadid: 13)


Dan sesungguhnya apa yang di sisi Allah itu lebih baik, lebih abadi, lebih utama, dan lebih mulia.


Sumber:
Laa Tahzan
Dr. Aidh Al-Qarni

Monday, November 14, 2011

persoalan....

KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut : 2-3)

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah : 216)


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah : 286)


RASA FRUST?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran : 139)




BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh,
di medan perjuangan) & bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya,
kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah Al-Imran : 200)



"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah Al-Baqarah : 45)

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."(Surah At-Taubah : 111)


KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah : 129)

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI !!!!!
"... ..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf : 12)

sahabat , jangan la engkau menyesal segala sesuattu yang terjadi,kerana Allah S.W.T telah takdirkan 
sesuatu yang lebih baik buat hambanya yang tidak putus asa dan sentiasa berdoa
kepada-Nya. 

sumber : Izyan Al-Munawwarah